fb fb fb fb fb

40 warga asing ditahan di lokasi 'hot spot' sekitar Johor

Jabatan Imigresen Johor menyerbu 44 premis kawasan hotspot di Johor Bahru pada 29 dan 30 Januari/Foto Ihsan JIM Johor

JOHOR BAHRU, 31 Januari - Jabatan Imigresen (JIM) Johor menahan seramai 40 warga asing menerusi beberapa serbuan yang dijalankan ke atas 44 premis di negeri ini, pada Isnin lalu hingga semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata seramai 353 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

Mereka yang ditahan berumur 21 hingga 49 tahun selepas menerima aduan awam mengenai warga asing berkenaan bekerja tanpa pas dan permit sah di beberapa lokasi  di Johor Bahru, Segamat, Batu Pahat dan Mersing.

"Kesemua mereka terdiri daripada sembilan lelaki warga Nepal, lima lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, 15 lelaki dan empat wanita Myanmar, dua lelaki dan satu wanita India dan seorang lelaki warga kemboja," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Tambah Baharuddin, pihaknya menahan kesemua mereka mengikut seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (akta 155).

Selain itu mereka juga gagal mematuhi Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Imigresen 1964 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

GRACE AISYAH KEDAYAN