IPOH, 31 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 11 unit telefon bimbit jenama OPPO dan 31 unit aksesori telefon jenama sama dipercayai tiruan dalam operasi pada pagi Selasa.
Pengarahnya, Datuk Kamaludin Ismail berkata, operasi yang dijalankan pukul 10.30 pagi itu telah menyerbu dua premis perniagaan di sekitar kompleks membeli belah di Ipoh.
Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis terbabit telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Dua lelaki tempatan berusia 30-an telah ditahan sementara untuk membantu siasatan.
Kesemua barangan yang disyaki menggunakan cap dagang palsu serta dokumen yang berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,869.00.