fb fb fb fb fb

Pemilik butik tipu bakal pengantin dihukum penjara, sebat

Hasmerun Hashim mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menipu bakal pengantin dalam urusan khidmat perancang perkahwinan membabitkan kerugian RM9,000 pada tahun lalu

KUALA LUMPUR, 31 Januari - Seorang pemilik butik pengantin di Raub, Pahang yang menipu bakal pengantin dalam urusan khidmat perancang perkahwinan membabitkan kerugian RM9,000 pada tahun lalu, dihukum penjara setahun dan sekali sebatan.

Tertuduh, Hasmerun Hashim mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kemudian, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 31 tahun itu didakwa memperdaya seorang wanita berusia 29 tahun dalam urusan khidmat perancang perkahwinan.

Tertuduh meminta mangsa menyerahkan wang secara berperingkat dalam dua transaksi berjumlah RM9,000 ke akaun bank CIMB atas nama 'Arjuna Cinta Wedding' miliknya.

Kesalahan dilakukan di sebuah kondominium di Taman Shamelin Perkasa, Cheras pada 23 dan 25 Ogos 2023.

Hasmerun melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Semasa prosiding, Hasmerun yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung ibu bapa yang uzur, adik dan anak saudaranya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

GRACE AISYAH KEDAYAN