fb fb fb fb fb

JIM tahan 'ibu ayam' warga Tanzania cuba eksploitasi rakan senegara

Suspek yang dikenali sebagai 'Madam' berusia 32 tahun disyaki menyalahgunakan kemudahan Pas Pelajar dengan menjadi ‘ibu ayam’ /Foto Ihsan JIM

KUALA LUMPUR, 31 Januari - Jabatan Imigresen (JIM) menyelamatkan seorang wanita warga Tanzania dari dieksploitasi oleh rakan senegara sebagai pekerja seks di sebuah pangsapuri, di sini, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Imigresen), Datuk Ruslin Jusoh berkata, mangsa berusia 29 tahun itu diselamatkan dalam operasi membanters kegiatan pemerdagangan orang.

Katanya, operasi dikendalikan Unit Risikan Operasi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menerusi maklumat Suruhanjaya Tinggi Republik Tanzania di Kuala Lumpur selain hasil risikan.

"Mangsa menjadi eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh sindiket yang menguruskan kemasukannya ke dalam negara.

"Mangsa dikawal ahli sindiket yang juga warganegara sama untuk dieksploitasi sebagai pekerja seks di samping pasport dipegang dan disimpan tanpa rela," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengenal pasti sebuah premis pangsapuri yang dijadikan tempat tinggal ahli sindiket.

Suspek berusia 32 tahun dikenali sebagai ‘madam’ disyaki menyalahgunakan kemudahan Pas Pelajar dengan menjadi ‘ibu ayam’ berjaya ditahan pihak JIM.

Susulan itu, mangsa berjaya diselamat dan ditempatkan di rumah perlindungan di bawah arahan perlindungan sementara Interim Protection Order (IPO).

"Imigresen akan terus bekerjasama dengan pihak kedutaan negara terbabit dalam mengesan dalang dan ahli sindiket lain berhubung maklumat kegiatan pemerdagangan orang dalam kalangan warganegara berkenaan.

"Modus operandi sindiket adalah menjanjikan pekerjaan termasuk peluang untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia," katanya.

Susulun itu, JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

GRACE AISYAH KEDAYAN