fb fb fb fb fb

Sindiket syabu, ketamin tumpas, rampasan bernilai hampir RM18 juta

Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya membongkar sebuah stor penyimpanan dadah berskala besar di Taman Sri Hartamas, di ibu negara dengan rampasan dadah jenis syabu dan ketamin yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM17.78 juta.

Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dilakukan pada 29 Julai lalu pada pukul 2.10 petang hasil risikan selama sebulan. Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan dalam operasi itu.

"Operasi yang kita lakukan ini antara yang terbesar pada tahun ini. Pemeriksaan di rumah teres dua tingkat itu menemukan 225 bungkusan syabu seberat 234 kg dan 200 bungkusan ketamin seberat 205.7 kg.

"Jumlah dadah yang dirampas mampu merosakkan seramai lebih 1.8 juta orang yang menggunakkannya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di ibu negara.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menjadikan rumah tersebut sebagai stor penyimpanan sementara dan bertindak sebagai koordinator dan pengangkut dadah.

"Kita percaya dadah ini baru tiba dari negara jiran melalui jalan darat dan dirancang untuk diedarkan ke pasaran tempatan termasuk Sabah, Sarawak serta negara jiran," jelasnya.

Suspek telah melakukan 10 penghantaran skala kecil sebelum ini, dan operasi kali ini merupakan penghantaran ke-11 dan terbesar setakat ini.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Namun, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang pengambilan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Suspek kini direman enam hari hingga 4 Ogos 2025 untuk siasatan lanjut.

Dalam tindakan susulan bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, JSJN turut menyita aset bernilai lebih RM93,350, termasuk 2 buah kereta pelbagai jenama, 3 utas jam tangan mewah, pelbagai barangan kemas dan 1 buah telefon bimbit.

Datuk Hussein menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kecekapan dan komitmen JSJN dalam memerangi ancaman dadah demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Orang ramai digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian Hotline JSJN di 012-208 7222.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI