fb fb fb fb fb

1,489 saman dikeluarkan kepada kenderaan Singapura dalam operasi VEP

Operasi Penguatkuasaan VEP di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 4 Ogos - Sebanyak 1,489 saman dikeluarkan terhadap kenderaan Singapura yang tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), sejak 1 Julai hingga kelmarin.

Pengarah Kanan Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, nilai saman keseluruhan sebanyak RM445,800, dikutip sepanjang penguatkuasaannya di sempadan darat Malaysia-Singapura.

"Alasan yang kami terima kebiasaanya, dia ingatkan Kerajaan Malaysia masih belum melakukan penguatkuasaan, dan masih dalam proses atau tindakan advokasi.

"Jadi, apabila kita telah mengambil tindakan tegas, kita tidak akan berkompromi dan tidak memberikan amaran, kita terus mengeluarkan saman serta-merta.

"Kita juga arahkan semua pemilik-pemilik dan pemandu yang telah dikeluarkan saman untuk menjelaskan saman tersebut, pada kadar segera," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Operasi Penguatkuasaan VEP di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, malam tadi.

Dalam tempoh sama, sebanyak 14,379 kenderaan berjaya diperiksa.

Hampir 90 peratus kenderaan persendirian bernombor pendaftaran negara itu, telah memiliki, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP.

Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI