fb fb fb fb fb

Sindiket dadah RM4.9 juta tumpas, wanita Vietnam dicekup

Seorang wanita warga Vietnam berusia 31 tahun ditahan dalam serbuan baru-baru ini/Foto PDRM Johor

JOHOR BAHRU, 3 Ogos – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak April menerusi dua serbuan berasingan di sekitar kawasan kediaman berpagar di Johor Bahru pada 25 dan 26 Julai lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 31 tahun.

Suspek dipercayai terlibat aktiviti membungkus dan mengedar dadah,serta didapati positif dadah jenis ketamin.

“Hasil serbuan, polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM4.901 juta, yang dipercayai untuk pasaran tempatan dan mampu digunakan oleh seramai 97,849 penagih,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut M. Kumar, siasatan mendapati suspek menggunakan dua buah unit pangsapuri di lokasi berbeza sebagai pusat operasi.

"Apartment pertama dijadikan tempat tinggal dan simpanan, manakala satu lagi sebagai tempat pembungkusan semula dadah.

“Suspek turut mencampurkan serbuk kopi dan bahan lain dalam proses menghasilkan dadah ini,” katanya.

Turut disita dalam serbuan ialah wang tunai dalam mata wang ringgit dan dolar Singapura serta pelbagai barangan kemas dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM38,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Terrence Ki Kek Ding, 35, bagi membantu siasatan berkaitan sindiket tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN