fb fb fb fb fb

Empat ditahan, sindiket edar bunga ganja tumpas

Sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Sindiket pengedaran bunga ganja berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat individu menerusi operasi ke atas sebuah unit apartment di Taman Kuchai Entrepreneurs, di ibu negara pada 29 Julai lalu.

Masing-masing merupakan seorang lelaki tempatan dan tiga warga Vietnam, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 26 hingga 30 tahun.

Operasi kira-kira pukul 12.00 tengah hari yang dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu turut menyita sebuah kereta mewah dan wang tunai bernilai RM800. Keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan lanjut di ruang tamu kediaman tersebut menemukan lapan kotak coklat mengandungi 91 bungkusan plastik berisi bunga ganja, seberat 42.3 kilogram dianggarkan bernilai RM1.48 juta.

"Unit apartment itu dipercayai dijadikan stor simpanan sebelum ganja diedarkan ke pasaran tempatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati suspek lelaki tempatan, yang dipercayai berperanan sebagai penyelaras dan penghantar utama, turut bertanggungjawab membawa masuk tiga warga Vietnam itu ke negara ini.

"Dua daripada perempuan vietnam adalah bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di satu pusat hiburan jadi kita percaya sindiket terlibat dalam agen sebagai warga Vietnam dan di samping terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah," jelasnya.

Kedua-dua wanita terbabit dipercayai mempunyai hubungan peribadi dengan dua suspek lelaki tersebut.

Ujian saringan awal mendapati lelaki tempatan terbabit positif syabu, amphetamine dan ketamin, manakala tiga suspek lain negatif. Kesemua mereka tiada rekod jenayah lampau dan telah direman tujuh hari sehingga 5 Ogos 2025.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan kesungguhan JSJN dalam memerangi ancaman narkotik.

Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian Hotline JSJN 012-208 7222 secara rahsia dan selamat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI