PETALING JAYA, 4 Ogos - Seorang doktor psikologi kanak-kanak hari ini mempertikaikan penggunaan istilah 'mengabaikan' dalam pertuduhan terhadap ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 30 tahun.
Dr Noor Aishah Rosli yang juga saksi kelima pembelaan memaklumkan bahawa ia tidak menepati definisi klinikal yang diterima pakai secara antarabangsa Pertubuhan Psikologi Amerika (APA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau turut mempersoalkan penggunaan frasa 'mungkin menyebabkan kecederaan fizikal' dalam pertuduhan pindaan terhadap Ismanira Abdul Manaf, kerana ia membawa maksud ketidakpastian dan tidak menyatakan secara konkrit bahawa pengabaian benar-benar berlaku.
"Perkataan ‘mengabaikan’ itu sendiri tidak disebut dalam laporan polis atau laporan bedah siasat sebelum ini," katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira yang merupakan penjaga kepada Zayn, didakwa mengabaikannya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran antara pukul 12.00 tengah hari pada 5 Disember dan 9.55 malam keesokannya, hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Tertuduh berdepan hukuman bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Mahkamah sebelum ini telah memerintahkan Ismanira membela diri dan prosiding disambung pada pukul 2.00 petang.