CHANGLUN, 14 Februari- Pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontijen PDRM Negeri Kedah berjaya mematahkan kegiatan penyelewengan barang kawalan disyaki diesel di sebuah stor terpencil tanpa nombor di Changlun, Kedah.
Serbuan dilakukan sekitar pukul 10.00 pagi semalam terhadap stor tersebut yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan barang kawalan sementara sebelum dijual kepada kenderaan pendaftaran asing.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata semasa serbuan, sebuah lori pikap berpendaftaran asing sedang mengisi minyak diesel ke kenderaan tersebut.
"Pemeriksaan awal terhadap kenderaan dipercayai terdapat tangki ubah suai. Turut ditemui beberapa peralatan di stor tersebut termasuk IBC, tong drum, motor pam berserta hos paip.
"Jumlah keseluruhan barang kawalan yang disyaki diesel dianggarkan hampir 900 liter dan nilai dianggarkan RM3,000 serta kenderaan dan peralatan lain dianggarkan bernilai RM30,000," katanya.
Jelas Muhammad Nizam, seorang lelaki warga tempatan berumur 60-an yang disyaki pemilik stor ditahan dan dilepaskan selepas selesai rakaman percakapan.
Manakala seorang lelaki warganegara Thailand berusia 30-an, pemilik kenderaan berpendaftaran asing direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
"KPDN ingin mengingatkan mana-mana orang yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas," katanya lagi.