PUTRAJAYA, 29 Julai – Sindiket pengurup wang tidak berlesen yang beroperasi di sebuah kondominium mewah di Putrajaya digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dilakukan sekitar 7.00 malam semalam itu hasil risikan selama dua minggu.
Jelas beliau, sindiket dipercayai menyasarkan warga Bangladesh di Lembah Klang yang mahu menghantar wang ke negara asal.
Seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai dalang utama ditahan, bersama lima pelanggan warga senegara berusia 26 hingga 48 tahun.
“Hanya seorang daripada mereka memiliki Pas Penggajian, manakala lima lagi tidak mempunyai sebarang dokumen sah,” katanya dalam kenyataan.
Turut disita dalam serbuan itu ialah wang tunai berjumlah RM1.215 juta, buku catatan urus niaga, dua telefon bimbit dan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.
Datuk Zakaria berkata, kegiatan tersebut dipercayai aktif sejak setahun lalu dan dijalankan secara tersusun bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
Seorang wanita tempatan dan dua lelaki warga Bangladesh turut diberi notis hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.
“JIM akan terus mempergiat operasi seumpama ini selaras prinsip MADANI yang menekankan integriti, keadilan dan ketenteraman awam,” tegasnya.