DURIAN TUNGGAL, 28 Julai – Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipukul beramai-ramai dalam kejadian di Jasin Bestari malam tadi.
Insiden berlaku, susulan dakwaan bahawa mangsa menunjukkan kemaluannya kepada orang awam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian pada pukul 7.26 malam itu bermula di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jasin, sebelum mangsa melarikan diri dan dikejar orang ramai.
“Terdapat dua individu yang memukul mangsa terlebih dahulu, menyebabkan mangsa melarikan diri ke sebuah kedai berhampiran dan kembali dipukul.
Mangsa kemudian berlari ke kawasan semak dan melintasi sungai, namun orang ramai terus mengejar. Beberapa individu yang berada di seberang longkang turut bertindak memukul mangsa hingga menyebabkan kecederaan serius,” katanya kepada pemberita, di sini.
Mangsa, berusia 51 tahun, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Siasatan mendapati mangsa mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Polis turut menahan enam suspek lelaki tempatan berusia 15 hingga 66 tahun dan seorang warga Pakistan, bagi membantu siasatan.
Kesemua mereka direman tujuh hari bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.