SEREMBAN, 28 Julai - Polis menemukan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang disyaki dibunuh sebelum ditanam di kawasan Rompin, Jempol di sini petang tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira 4.30 petang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada 24 Julai lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta diklasifikasikan sebagai orang hilang.
“Susulan laporan kehilangan itu, Polis Kontinjen Johor menahan lelaki dipercayai ayah kandung mangsa, berusia 36 tahun kira-kira 12 tengah hari pada tarikh sama (24 Julai) di Johor Bahru sebelum membawa kepada penemuan mayat kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA