fb fb fb fb fb

Sindiket pengiriman wang haram tumpas, 10 warga asing ditahan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Februari- Kegiatan perniagaan kiriman wang haram tumpas selepas 10 warga asing termasuk dua wanita diberkas dalam serbuan berasingan di Klang dan Brickfields, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata serbuan membabitkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama pegawai Bank Negara Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.

"Menerusi serbuan pertama di tiga premis perniagaan di Klang, tiga lelaki warga India termasuk dalang utama serta dua wanita warga Indonesia, ditahan.

"Susulan daripada itu, serbuan seterusnya dijalankan ke atas sebuah premis kediaman di Brickfields, dipercayai menjadi pusat pengumpulan hasil pengendali perniagaan pengiriman wang haram.

"Sejumlah wang tunai bernilai RM3.62 juta, serta mata wang asing berjumlah lebih RM12,000 dan pelbagai barangan perhiasan dipercayai emas disyaki hasil aktiviti pengiriman wang haram turut dirampas," menurut kenyataan itu.

Tambahnya, modus operandi sindiket tersebut adalah menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen yang sah serta menyasarkan warga Indonesia dan India sebagai pelanggan.

Sindiket itu dipercayai beroperasi selama setahun dengan menggunakan barang kemas yang dibawa ke luar negara sebagai proses penghantaran kiriman wang haram tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM