KUALA LUMPUR, 10 Disember – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dan saringan kesihatan pekerja asing dengan penahanan enam lelaki warga Bangladesh dalam Operasi Khas yang dijalankan semalam (9 Disember) di sekitar Jalan Chemur dan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Menurut JIM, operasi yang bermula pada pukul 12.35 tengah hari itu, melibatkan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, susulan risikan selama dua minggu.
"Dalam serbuan ke atas premis kediaman mewah, JIM berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Rayhan, dipercayai sebagai dalang utama, bersama lima lagi lelaki warga Bangladesh yang disyaki ahli sindiket. Kesemua yang ditahan berusia antara 23 hingga 45 tahun.
"Semakan awal mendapati empat warga asing, termasuk dalang utama, telah tinggal lebih masa, manakala dua lagi gagal menunjukkan sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah.
"Pasukan operasi menyita sebanyak 73 naskhah pasport pelbagai negara yang disyaki palsu (terdiri daripada pasport Myanmar, India, Pakistan, Nepal, Indonesia dan Bangladesh), borang pemeriksaan kesihatan pekerja asing FOMEMA, cetakan berwarna muka hadapan pasport, serta satu set komputer dan peralatan pemalsuan.
"Modus operandi sindiket adalah menyasarkan warga asing di Lembah Klang yang tidak sihat ('unfit') untuk menjalani pemeriksaan FOMEMA.
"Sindiket akan menggunakan gambar ahli sindiket pada pasport palsu, namun menggunakan maklumat peribadi dan nombor asal pasport pelanggan, bagi tujuan saringan kesihatan di klinik," menurut kenyataan tersebut.
Sindiket itu mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM250 bagi setiap pasport palsu dan saringan kesihatan.
Dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu, ia merupakan tangkapan kali keempat JIM pada tahun ini yang menggunakan modus operandi serupa.
Kesemua enam warga Bangladesh ditahan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.