fb fb fb fb fb

Sindiket menyamar pegawai NSRC, mangsa rugi selepas serah kad ATM

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Disember - Sikap terlalu mudah mempercayai panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mengakibatkan seorang mangsa terpedaya dalam sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, CP Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan pihaknya menerima laporan polis pada 24 Disember 2025 berhubung kejadian berkenaan.

Menurut siasatan awal, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai NSRC dan mendakwa nombor telefon mangsa telah disalahgunakan bagi penyebaran pautan bantuan kewangan kerajaan.

Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis.

Individu tersebut mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan mengaitkan nama mangsa sebagai pemilik akaun keldai susulan penahanan seorang suspek dalam kes berkenaan.

Pada 4 Disember 2025, mangsa diarahkan menyerahkan kad ATM bersama nombor PIN kononnya bagi tujuan siasatan.

Selepas berbuat demikian, mangsa mendapati wang simpanannya dikeluarkan secara berperingkat tanpa pengetahuan dan kebenaran.

JSJK menegaskan NSRC yang ditubuhkan pada Oktober 2022 hanya berfungsi sebagai pusat panggilan komunikasi sehala dan tidak pernah menghubungi orang awam melalui panggilan telefon atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp.

PDRM turut menegaskan tiada siasatan dijalankan hanya melalui panggilan telefon, sebaliknya individu yang disiasat akan dipanggil hadir ke pejabat pegawai penyiasat bagi tujuan siasatan lanjut.

AZRUL FAIZAL JUSOH