SIBU, 27 Disember - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu berjaya merampas rokok dan minuman keras seludup dengan nilai keseluruhan rampasan dan cukai mencecah lebih RM4.2 juta di sini.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Haji Norizan Yahya berkata, sebanyak 3.43 juta batang rokok dan 70,518.24 liter minuman keras disyaki tidak berkastam, dirampas hasil satu operasi penguatkuasaan di sebuah rumah dua tingkat di Lorong Ulu Sungai Merah pada 17 Disember lalu.
"Rampasan tersebut adalah hasil tindakan pantas sepasukan pegawai daripada Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sibu, bertindak atas maklumat risikan yang diterima daripada Ibu Pejabat JKDM.
"Operasi yang dijalankan pada 17 Disember lalu, kira-kira jam 4.25 petang, telah membawa kepada penemuan sejumlah besar rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam serta melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," menurut kenyataan itu.
Nilai sitaan bagi rokok dan minuman keras tersebut dianggarkan sebanyak RM731,809.44, manakala jumlah duti import dan cukai yang terlibat dianggarkan RM3,472,209.93.
Siasatan awal mendapati rumah berkenaan dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan barang larangan bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.
"Kes ini sedang disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, melibatkan kesalahan menyimpan atau memiliki barang tak berkastam atau larangan import.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000.00 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam (6) bulan dan tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali." tambah kenyataan itu.
Orang ramai turut diseru agar terus bekerjasama dengan pihak JKDM dalam memerangi kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja merugikan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
"Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat. JKDM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," menurut kenyataan itu.