fb fb fb fb fb

Pembantu kedai perkakasan rugi lebih RM50,000 ditipu sindiket tawaran hadiah wang tunai

Gambar hiasan/ RTM

KUALA BERANG, 27 Disember - Seorang pembantu kedai perkakasan mengalami kerugian sebanyak RM56,600 selepas diperdaya sindiket tawaran hadiah wang tunai.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, mangsa yang berusia 18 tahun telah dihubungi oleh seorang individu yang memaklumkan bahawa remaja lelaki itu memenangi hadiah wang tunai, pada 24 Disember lepas.

Bagaimanapun untuk mendapatkan hadiah tersebut, mangsa diminta membayar sejumlah wang terlebih dahulu, yang didakwa akan dikembalikan bersama-sama hadiah yang dijanjikan.

"Lelaki tersebut yang terperdaya telah membuat empat kali bayaran berjumlah RM56,600 dalam tempoh 24 hingga 25 Disember lepas. Mangsa menyedari ditipu setelah suspek lelaki itu terus mendesaknya supaya memasukkan wang," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN