fb fb fb fb fb

Polis buru lelaki diklasifikasikan berbahaya, paling dikehendaki susulan kejadian letupan

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menunjukkan wajah suspek yang dikehendaki berhubung kejadian letupan di kawasan Desa Palma pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini/ BERNAMA

SEREMBAN, 26 Disember - Polis kini memburu seorang lelaki yang diklasifikasikan sebagai berbahaya dan paling dikehendaki susulan kejadian letupan di Pangsapuri Desa Palma, Nilai di sini pada 22 Disember lalu.

‎Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek dikenali sebagai Yeoh Hock Sun, 62, dipercayai bertindak secara bersendirian serta mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan.

‎Ia susulan penemuan sejumlah besar peranti serta kompenan sebagai Improvised Explosive Device (IED) dalam pelbagai bentuk di sebuah rumah dan hasil siasatan mendapati rumah berkenaan dipercayai dijadikan sebagai makmal untuk menghasilkan bahan letupan.

"Daripada siasatan kita menggunakan bantuan daripada Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan K9 dan juga daripada beberapa saksi di tempat kejadian telah membawa kita kepada satu kediaman iaitu satu rumah yang merupakan rumah kedai yang berada di tingkat 3 berhampiran kawasan tersebut dan pemeriksaan kita di rumah tersebut telah menemui beberapa lagi jenis bahan letupan yang sama," kata beliau pada sidang media kes terbabit di sini, hari ini.

‎Pihak polis turut memberi jaminan bahawa tahap keselamatan awam adalah terkawal dan pemantauan keselamatan akan terus dipertingkatkan.

‎Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Insp. Fathiyah Syazana Zuraimy di talian 019-3161377@06-7904222.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN