KUCHING, 11 Januari - Polis berjaya menumpaskan sindiket judi dalam talian dengan menahan seorang lelaki tempatan dan 40 warga asing dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Kepayang di sini, pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kesemua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 31 tahun.
“Dalam operasi ini, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk pengoperasian sindiket tersebut, termasuk 19 unit komputer, 17 unit komputer riba, dan 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Kesemua warga asing yang ditahan juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1953/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
“Permohonan reman lelaki tempatan telah diperoleh selama tiga hari sehingga Isnin ini, manakala 40 warga asing ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63 sehingga 22 Januari ini,” tambahnya.