GEORGETOWN, 31 Oktober - Sindiket pengedaran dadah jenis methylenedeioxymethamphetamine (MDMA) tumpas susulan penahanan tujuh individu termasuk dua wanita warga asing, dalam serbuan di sekitar bandar raya ini dan Seberang Jaya, bermula 4 petang semalam hingga 3 pagi tadi.
Turut dirampas, dadah bernilai RM3.4 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan, kesemua suspek ditahan berusia 31 hingga 54 tahun.
Dalam dua serbuan di Georgetown, polis menahan sepasang lelaki dan wanita di kawasan tempat letak kereta.
Serbuan itu membawa penemuan 235 paket plastik pelbagai warna berisi serbuk disyaki MDMA seberat 5.7 kilogram serta 17.5 gram dadah ketamin.
Hasil soal siasat terhadap dua suspek itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Seberang Jaya kira-kira pukul 3 pagi tadi, yang membawa penahanan empat lelaki dan seorang wanita.
Pemeriksaan di rumah tersebut membawa kepada penemuan tiga balang plastik berisi serbuk disyaki MDMA seberat 2.66 kilogram dan 438 paket plastik lutsinar berisi serbuk sama seberat 14.53 kilogram.
Dua kereta jenis Nissan Teana dan Proton Preve bernilai kira-kira RM40 ribu turut disita.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah methamphetamine, amphetamine dan ketamin.
Selain itu, tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Menurut Datuk Azizee, mereka direman tujuh hari bermula hari ini (31 Oktober) hingga 6 November bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.