KUALA LUMPUR, 1 November- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang bekerjasama rapat dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kegiatan jenayah siber bernilai kira-kira RM130 juta berpangkalan di Kemboja.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, maklumat daripada pihak berkuasa Singapura mendedahkan penglibatan 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia dalam kegiatan itu.
Kesemua tujuh suspek warga Malaysia telah disenaraikan sebagai individu dikehendaki bagi tujuan siasatan lanjut.
PDRM menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membanteras jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.