fb fb fb fb fb

Sindiket edar dadah lebih RM1 juta guna WeChat, tumpas

Sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru/ Foto Facebook Polis Johor

JOHOR BAHRU, 28 Mei- Satu sindiket pengedaran dadah bernilai lebih RM1.23 juta melalui aplikasi WeChat, ditumpaskan dalam dua operasi berasingan di sini pada 20 dan 21 Mei lalu.

Operasi khas itu turut membawa penahanan terhadap lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing, berumur antara 29 hingga 54 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak Januari lalu, menjadikan rumah teres berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dadah.

"Dalam kes ini, siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan aplikasi WeChat untuk membeli dan mengedarkan bahan disyaki dadah.

"Mereka akan berhubung melalui WeChat, dan barang akan diletakkan di tempat tertentu. Pembekal, pembeli atau pengguna akan mengambil barang tersebut dan meletakkan duit yang sepatutnya di tempat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.

Rampasan dadah pelbagai jenis itu dianggarkan seberat 8.75 kilogram, dan boleh digunakan kira-kira 31,900 penagih.

Enam suspek didapati positif dadah jenis metafetamin dan ketamin, sementara lima daripada mereka, mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau.

Turut disita, lima kenderaan, wang tunai dan barang kemas keseluruhan bernilai RM127,273. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI