fb fb fb fb fb

Sindiket edar dadah di Sibu tumpas, syabu lebih RM117,000 dirampas

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi pada Rabu lalu

SIBU, 24 Oktober -Sindiket pengedaran dadah di sini, berjaya ditumpaskan selepas polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah jenis syabu bernilai lebih RM117,000.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sarawak pada Rabu lalu di sebuah rumah di Lorong Rejang Park.

“Hasil serbuan membawa kepada penemuan lebih dua kilogram syabu dengan anggaran berat 2,055 gram.

Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun turut ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, petang tadi.

Beliau berkata, soal siasat terhadap suspek membawa kepada satu lagi rampasan di sebuah premis perkhidmatan kurier di Jalan Maju, yang menemukan syabu seberat 1,038.84 gram.

"Bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari Semenanjung melalui perkhidmatan kurier sebelum diedarkan ke kawasan sekitar Sibu.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan 3,094.69 gram syabu bernilai RM117,598.22 dan ia dipercayai boleh digunakan oleh lebih 15,000 penagih dadah," ujarnya lagi.

Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine, selain mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika disabit kesalahan.

ACP Zulkipli turut menegaskan, kejayaan operasi itu hasil kerjasama strategik antara JSJN Sarawak dan Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam memperkukuh usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri itu.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN