fb fb fb fb fb

Polis rampas 888,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM)

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (dua, kanan), bercakap pada sidang media Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0 di Menara 2, Bukit Aman . / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Operasi Pedo Bersepadu PDRM–SKMM 2.0, bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata dalam operasi sama, seramai 31 individu ditahan.

Daripada jumlah itu, 25 merupakan suspek utama manakala enam lagi tangkapan susulan, melibatkan lelaki berusia 12 hingga 71 tahun daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), guru dan pekerja profesional.

Menurut beliau, sebanyak 82 peranti digital dirampas sepanjang operasi itu, dengan jumlah fail meningkat lebih 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0 pada Disember 2024.

"Operasi itu melibatkan 206 pegawai dan anggota daripada 14 kontinjen PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan risikan Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah serta pemantauan digital SKMM, selain kerjasama antarabangsa dan maklumat daripada aduan awam.

“Modus operandi jenayah ini melibatkan suspek mengakses dan memuat turun bahan CSAM melalui Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, dark web serta storan awan.

"Sebahagian mereka bertindak sebagai admin kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar kepada bahan CSAM melalui transaksi e-wallet dan kod QR perbankan seperti M-Bank dan Touch & Go,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Datuk Seri Mohd Khalid berkata, seorang remaja berusia 17 tahun mencatat pendapatan RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025 hasil jual beli bahan CSAM, menunjukkan kegiatan itu bukan sekadar hiburan, tetapi sudah menjadi aktiviti berstruktur dan bermotifkan kewangan.

“Ini menunjukkan peralihan tahap moral yang membimbangkan. Peningkatan drastik fail CSAM dari tahun ke tahun menuntut kapasiti penyiasatan, kepakaran forensik digital serta infrastruktur penyimpanan bukti yang mencukupi untuk menampung pertumbuhan eksponen data jenayah,” katanya.

Seramai 17 suspek telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 8 dan 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala 14 lagi dibebaskan dengan jaminan.

PDRM menegaskan jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak adalah serius dan tidak akan dikompromi, serta menyeru masyarakat meningkatkan kesedaran keselamatan digital, memantau penggunaan peranti anak-anak, dan menyemai nilai moral dan akhlak.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID