fb fb fb fb fb

Sindiket dadah tumpas, dadah bernilai RM10.4 juta dirampas

Pelbagai jenis dadah dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Kajang

SHAH ALAM, 15 Disember - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor menumpaskan sindiket penyimpanan dan pembungkusan dadah dengan menahan tiga individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM10.4 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tiga individu berkenaan terdiri daripada dua wanita tempatan dan seorang lelaki bukan warganegara berusia lingkungan 40 hingga 45 tahun ditahan menerusi operasi di sebuah kediaman di Kajang.

"Semakan rekod lampau mendapati dua suspek pertama dan kedua mempunyai rekod berkaitan penyalahgunaan dadah, manakala suspek ketiga tidak mempunyai rekod lampau. Ketiga-tiga suspek dipercayai berperanan dalam aktiviti pembungkusan bekalan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan," katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Pelbagai jenis dadah itu termasuk serbuk dan pil ekstasi, ketamin, syabu, pil yaba, bunga ganja serta cecair disyaki dadah jenis ekstasi dipercayai untuk pasaran Lembah Klang.

Polis turut menyita sebuah kenderaan serta enam barangan kemas bernilai RM52,600. Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Menurut Datuk Shazeli Kahar, serbuan dan rampasan tersebut hasil risikan JSJN dan kerjasama orang awam. Pihak polis juga mengalu-alukan maklumat lanjut berkaitan aktiviti pengedaran dadah dalam membanteras jenayah berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI