fb fb fb fb fb

Tidak patuhi peraturan alam sekitar, premis biochar didenda RM15,000

Foto Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah

ALOR SETAR, 14 Disember – Sebuah premis yang menjalankan aktiviti penghasilan produk biochar daripada tempurung kelapa di Jitra, Kedah didenda sebanyak RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis seperti diwajibkan di bawah Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar, Prissilia Hemamalini Nadarajan, menjatuhkan hukuman denda tersebut selepas Pengarah syarikat terbabit selaku Orang Kena Saman mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Berdasarkan fakta kes, pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang beroperasi di Kampung Bemban, Mukim Gelong, Jitra pada 18 April lalu, susulan aduan orang awam berkaitan pelepasan asap.

1412 KDH JAS MAHKAMAH DENDA PREMIS 2Foto Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah

Hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada Jabatan Alam Sekitar berhubung pemasangan sebuah carbonizer burner yang digunakan bagi tujuan penghasilan produk biochar.

Kesalahan tersebut adalah di bawah Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, yang diperuntukkan hukuman di bawah Peraturan 29, peraturan yang sama, selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding itu, Pengarah syarikat memohon agar hukuman diringankan dengan mengambil kira kesalahan pertama serta tindakan pembetulan yang telah diambil, termasuk mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada Jabatan Alam Sekeliling.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN