HULU SELANGOR, 6 Oktober - Polis Selangor berjaya menumpaskan sindiket penipuan “Fly by Night” yang terlibat dalam pembelian barangan menggunakan resit bayaran palsu menerusi satu operasi di Kajang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membawa kepada penahanan lima lelaki terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang bukan warganegara.
“Turut dirampas sebuah lori dan pelbagai barangan seperti baja, stretch film, gas silinder, barangan dapur dan minyak enjin yang disyaki diperoleh hasil kegiatan sindiket,” katanya dalam sidang media di IPD Hulu Selangor.
Menurut beliau, kejayaan itu sekali gus menyelesaikan lapan kes penipuan di Selangor dan Perak dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM221,853.80.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun lalu dengan modus operandi membuat pesanan melalui telefon, menyerahkan resit bayaran palsu kepada mangsa, sebelum menggunakan khidmat syarikat pengangkutan untuk mengambil barangan,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.