fb fb fb fb fb

Serang polis dengan pisau, suspek mengaku tidak bersalah

Tertuduh, Yap Thye Sun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis ketika rondaan cegah jenayah / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Seorang lelaki berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis ketika rondaan cegah jenayah, serta memiliki senjata berbahaya tanpa alasan munasabah.

Tertuduh, Yap Thye Sun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Yap didakwa menikam Koperal Mohd Nazri Sudiman menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian perut, dalam kejadian yang berlaku di tepi jalan pusingan U, Jalan Yew, Wangsa Maju, pada pukul 12.30 tengah hari, 31 Julai lalu.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius yang disifatkan sebagai “penetrating abdominal wound with evisceration” atau kecederaan perut dengan usus terkeluar, yang boleh mengancam nyawa.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Yap turut didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau sepanjang 21.5 sentimeter tanpa alasan sah di lokasi dan masa yang sama, mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan sebatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuan Abdul Latif, memohon agar mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes tersebut melibatkan kecederaan serius terhadap penjawat awam dan tertuduh dikhuatiri melarikan diri.

“Kes ini sangat serius kerana melibatkan anggota polis yang ditikam hingga ususnya terkeluar semasa menjalankan tugas,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, pihak polis menahan suspek selepas kejadian tersebut dan merampas sebilah pisau serta tiga plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan kekuningan yang disyaki dadah.

Mangsa kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN