fb fb fb fb fb

Kes Zara Qairina: AGC pulang semula laporan penuh siasatan awal kepada polis

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar

PUTRAJAYA, 6 Ogos - Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulangkan semula laporan penuh siasatan awal berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata laporan itu diserahkan semula semalam berserta arahan berhubung beberapa perkara untuk dibuat penelitian.

"Kita telah beri arahan tertentu, maknanya ada beberapa benda kita perlu 'compile' balik. Saya tidak boleh nak cakap secara terperinci kerana siasatan masih dijalankan tetapi ada perkara yang perlu dilengkapkan.

"Saya tidak boleh maklumkan tindakan yang akan diambil buat masa ini termasuk melaksanakan bedah siasat atau inkues menyiasat kematian mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Kehakiman Putrajaya di sini hari ini.

Isnin lepas, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN