fb fb fb fb fb

Sepasang kekasih ditahan edar dadah bernilai RM3.3 juta

Datuk Seri Khaw Kok Chin

SHAH ALAM, 25 November- Polis menahan sepasang kekasih berusia 31 dan 28 tahun dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis syabu bernilai RM3.3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, ditahan di sebuah rumah tumpangan sekitar Sekinchan, Selangor pada 21 November lalu.

"Jumlah keseluruhan dadah dirampas adalah sebanyak 94.7 kilogram. Modus operandi dapat bekalan dari utara negara kita dan akan dihantar ke negara jiran melalui jalan laut ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Suspek ditahan reman 6 hari sehingga 27 November untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau menegaskan seluruh elemen akan digerakkan bagi memastikan jenayah penyeludupan dadah ini dapat ditangani dengan berkesan terutama di sempadan negara.

Ia termasuk lorong tikus serta laluan dikenal pasti digunakan sindiket penyeludupan dadah di negara ini berdekatan Sungai Golok akan dibanteras sepenuhnya bagi memerangi jenayah berkenaan.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan dengan elemen narkotik mereka akan berkerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi penguatkuasaan di sempadan fokus kemasukan dadah di sana," katanya.

Dapam pada itu kerjasama turut dijalinkan dengan pihak berkuasa negara jiran dalam memastikan kegiatan penyeludupan dadah dapat ditangani dan dibanteras.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI