fb fb fb fb fb

Seorang lelaki bersama pakaian berjenama tiruan bernilai RM40,400 ditahan

Ketika serbuan, didapati rumah tiga bilik tersebut dipenuhi dengan pelbagai barangan terutama pakaian berjenama terkenal yang dipercayai tiruan./ BERNAMA

GEORGE TOWN, 10 Januari-Seorang lelaki bersama pelbagai pakaian  berjenama dipercayai tiruan bernilai RM40,400 ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dalam serbuan sebuah rumah di Desa Intan, Lebuhraya Thein Teik di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, A. Mogan berkata pihaknya menerima aduan daripada wakil syarikat Cap Dagang terdapat barangan mengunakan jenama tiruan sebelum pihaknya menjalankan risikan dan menyerbu rumah pangsapuri itu pada 3 petang semalam.

Katanya semasa serbuan, terdapat seorang lelaki berusia 26 tahun dan rumah tiga bilik tersebut penuh dengan pelbagai barangan terutama pakaian berjenama terkenal yang dipercayai tiruan.

"Pemeriksaan lanjut dijalankan dan 5,050 helai pakaian pelbagai jenama terkenal dipercayai tiruan antaranya Nike, Puma,  Adidas dan Channel dirampas yang kesemuanya bernilai RM40,400.

"Hasil siasatan lelaki itu mengaku menyewa rumah tersebut RM500 sebulan dan menjadikan ia sebagai pusat penyimpanan, pusat pemasaran dan pusat transaksi jualan pakaian tersebut menerusi secara langsung di beberapa platform media sosial," katanya.

Mogan berkata suspek telah menjalankan kegiatan tersebut sejak 2022 dan mampu mengaut sehingga RM1,000 bagi setiap sesi jualan langsung di platform media sosial .

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah dibawah Seksyen 100 Akta yang sama.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI