fb fb fb fb fb

Polis Pahang tahan dua suspek kes samun

FOTO HIASAN

KUALA LIPIS, 9 Januari - Dua suspek kes samun dan mencederakan seorang pekerja warga Bangladesh berusia 40 tahun, berjaya ditahan selepas tiga jam melakukan kegiatan itu. 

Penahanan dilakukan Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID), Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis, selepas menerima aduan daripada pengadu warga tempatan yang juga majikan mangsa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata pihaknya berjaya menahan dua suspek berusia 21 dan 17 tahun, masing-masing beralamat di Jalan Tempoyang, Lipis dan Taman Damai Indah, Kajang, Selangor.

Susulan tangkapan itu, pihak polis merampas satu beg duit berwarna gelap tanpa jenama dan wang tunai berjumlah RM6,750.

Turut dirampas, dua keping kad ATM Maybank dan Bank Simpanan Nasional, serta sehelai surat nombor keselamatan untuk Kad Bank CIMB, atas nama suspek berusia 21 tahun.

Selain itu, sebuah beg berwarna hitam berisi wang tunai RM693 dan sebuah telefon bimbit , turut dirampas.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam semalam itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tapak tangan dan jari kiri ketika cuba merampas pisau yang diacukan kepadanya.

Hasil siasatan awal mendapati, tempat kejadian merupakan di hadapan rumah mangsa di Taman Perumahan Bandar Baru, Lipis, kerana mangsa ketika itu sedang menunggu bekas pekerja yang mahu berjumpanya.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari, hingga 15 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF