fb fb fb fb fb

Siasatan kes Zayn Rayyan sudah capai 90 peratus

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 9 Januari - Siasatan berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin kini sudah mencapai 90 peratus termasuk elemen forensik, patologi, keterangan saksi dan siasatan di tempat kejadian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Hussain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini tertumpu kepada maklumat yang dikumpul sepanjang siasatan mengenai kes pembunuhan kanak-kanak itu.

"Kita melihat bahawa mungkin siasatan forensik kita itu juga berkesudahan secara negatif. Jadi saya telah pun berbincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kita sekarang ini ke arah mengumpulkan risikan untuk memulakan tangkapan ke atas suspek-suspek yang mempunyai lebih 50 peratus keterangan," kata Razarudin dalam sidang media khas di Ibu pejabat polis Bukit Aman di sini.

Menurut Razarudin, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil ibu bapa, orang terdekat dan saksi-saksi lain yang berada dalam lingkungan berkaitan kes pembunuhan ini dalam membantu siasatan sekali gus menyelesaikan kes ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis tidak akan menghentikan siasatan sehingga petunjuk baharu diperoleh, dan setakat ini polis telah merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

TETITIA YUSOFF