GEORGE TOWN, 19 Mac- Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan sembilan individu, termasuk seorang wanita warga Thailand.
Turut dirampas dadah sintetik yang dianggarkan bernilai lebih RM855,000.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamed berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan berkenaan dibuat membabitkan beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah Timur Laut antara 14 hingga 17 Mac lalu.
Hasil serbuan, polis merampas dadah antaranya syabu, ketamin, pil ekstasi, MDMA, Erimin 5 dan serbuk campuran jus dadah pelbagai perisa.
"Untuk kes pertama, kita tangkap tiga orang, kes kedua kita tangkap seorang suspek berusia 50 tahun manakala untuk kes ketiga, ketika serbuan dalam rumah ada lima orang, empat tempatan dan satu wanita Thailand, jadi kesemuanya sembilan orang ditahan dan sindiket berbeza,"katanya.
Polis turut menyita beberapa kenderaan yang dianggarkan bernilai lebih RM108,000 termasuk barangan kemas serta wang tunai..
Tujuh daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Enam daripadanya turut didapati positif dadah.
Kesemua tangkapan yang berusia antara antara 23 hingga 50 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pagi tadi.