fb fb fb fb fb

Pengarah Emraz Travel mengaku tidak bersalah gagal bayar balik tuntutan jemaah umrah

Tertuduh, Datuk Zulkarnain Endut ketika tiba di mahkamah

JOHOR BAHRU, 19 Mac- Pengarah syarikat pengendali umrah, Emraz Travel and Tours Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, atas lapan pertuduhan, gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Malaysia kepada lapan individu, berjumlah RM131,890 sepanjang tempoh Julai 2023 sehingga Januari lalu.

Pengakuan tertuduh, Datuk Zulkarnain Endut, 43 tahun, dibuat dihadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid, dan kes dijalankan mengikut Seksyen 117 ( 1 ) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan melibatkan kegagalan pembayaran tuntutan kepada penerima, yang sepatutnya berlepas ke Mekah, pada Mac tahun lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM500 bagi setiap lapan pertuduhan oleh seorang penjamin, serta melapor diri di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya setiap bulan.

Kes disebut semula 22 April ini untuk penyerahan dokumen, selain bacaan lapan pertuduhan kepada tertuduh kedua, Datin Mazuin Mustafa, yang tidak dapat hadir.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi, manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Hanif Hasan.

Dalam sesi yang sama, syarikat milik tertuduh iaitu Emraz Travel and Tours Sdn Bhd juga didakwa dengan lapan pertuduhan sama.

Sementara itu, peguam tertuduh, memberitahu mahkamah bahawa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengeluarkan notis, tidak membenarkan Zulkarnain untuk menjadi pengarah mana-mana syarikat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE