fb fb fb fb fb

Gagal pamer dokumen kebenaran, dua bot beserta 23 kru warga Vietnam ditahan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya menahan dua buah bot beserta 23 kru dan tekong warga Vietnam, Sabtu lalu

PASIR PUTEH, 19 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya menahan dua buah bot beserta 23 kru dan tekong warga Vietnam, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata kesemua mereka ditahan pada kedudukan 160 hingga 162 batu nautika dari muara Tok Bali, di sini.

"Turut dirampas, 1,000 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta 2,500 liter diesel yang bernilai hampir RM3 juta. Kedua-dua bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan pada pukul 11 pagi sebelum ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali, di sini.

Tambah Erwan Shah, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia.

Kesemua kru turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN