KOTA BHARU, 21 Januari- Polis Kelantan merampas sejuta batang rokok seludup selepas menahan lima individu dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah Kota Bharu, pada Sabtu.
Rampasan berjumlah RM750,000 termasuk cukai itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah negeri di Kampung Pauh Panji dan Kampung Padang Mokkan.
Ketua polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun dalam satu kenyataan berkata serbuan pertama dijalankan pada pukul 3.45 pagi pada Sabtu di Kampung Pauh Panji, telah berjaya menahan tiga individu.
"Hasil pemeriksaan di lokasi tersebut membawa kepada penemuan 300,000 batang rokok putih di dalam sebuah kereta dan lori. Soal siasat yang dilakukan terhadap ketiga-tiga suspek, turut membantu kepada penahanan seorang lagi lelaki."
"Kesemua mereka yang ditahan masing-masing berusia 27 hingga 59 tahun," kata kenyataan itu.
Serbuan kedua pula digerakkan pada pukul 3.30 petang, berjaya menangkap seorang lelaki berusia lewat 20-an di Kampung Panji, Kota Bharu.
Selain itu, operasi berkenaan turut menjumpai 700,000 batang rokok putih di dalam sebuah lori.
Semua rokok putih yang ditemukan, dipercayai telah diseludup masuk secara haram dari negara jiran.
Kelima-lima suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, untuk tujuan permohonan tahanan reman.
Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.