KUALA LUMPUR, 8 Januari- Bekas Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan barat, tahun lepas.
Wan Muhammad Azri, 41, atau lebih dikenali Papagomo mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Wan Muhammad Azri didakwa menyebut kata-kata menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan kata-kata itu telah dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 1 tengah hari, 8 November lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga 5 ribu ringgit atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain memohon tertuduh dikenakan perintah larangan supaya tidak membuat sebarang komen berhubung kes dihadapinya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri memohon jaminan RM3,,000 dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan oleh pihak berkuasa.
Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan tidak meletakkan sebarang syarat tambahan serta menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan kes.