fb fb fb fb fb

Penolong pegawai tadbir minta rasuah batal kompaun direman enam hari

FOTO SPRM

ALOR SETAR, 8 Januari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang penolong pegawai tadbir kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi membatalkan kompaun dikeluarkan sebuah agensi penguat kuasa di Kedah.
 
Perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 13 Januari depan terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
 
Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia sekitar 30-an itu ditahan pada pukul 5.20 petang semalam ketika hadir untuk dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kedah.
 
Berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM5,000 daripada sebuah syarikat  pada tahun 2022.
 
Wang berkenaan sebagai balasan bagi membatalkan kompaun yang telah dikeluarkan oleh sebuah agensi penguatkuasa terhadap syarikat berkenaan atas kesalahan ketiadaan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) untuk bahan binaan.
 
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Soock Wee Ei Tem ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE