KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Seorang pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) didenda RM5,000 kerana memalsukan permohonan sumbangan untuk mengadakan program, empat tahun lalu.
Tertuduh, turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Hakim Mohd Azhar Othman membuat keputusan itu selepas Roslilawati Mukhtar berusia 45 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Tertuduh yang juga ketua sayap sebuah parti politik di Terengganu dengan curang menggunakan satu dokumen senarai nama 100 pelajar asnaf bagi program 'Back to School'.
Program itu bagaimanapun tidak dijalankan.
Malah senarai penerima pula menunjukkan 25 nama asnaf diguna secara berulang.
Tertuduh didakwa mengemukakan dokumen itu kepada Ketengah Holding Sdn Bhd bagi mendapatkan bantuan berjumlah RM5,000.
Jika sabit kesalahan,tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar dan Nurul Haziqah Tengku Yacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.