fb fb fb fb fb

Wanita direman terima suapan RM18,000 anjur konsert

Tertuduh (tengah) di pekarangan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini

AYER KEROH, 9 Januari- Seorang penolong pengurus sebuah agensi kerajaan direman empat hari oleh Mahkamah Sesyen sini berhubung kes menerima suapan berjumlah RM18,000 bagi penganjuran sebuah konsert tahun lalu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Khairunnisak Hasni selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wanita itu ditahan kira-kira pukul 4.00 petang semalam selepas diminta hadir ke pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan.

Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai urusetia telah membantu seorang pengarah syarikat mendapatkan kelulusan bagi geran bawah agensi kerajaan berjumlah RM300,000.

Suspek dipercayai menerima komisen daripada pengarah syarikat terbabit berjumlah keseluruhan RM18,000.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan reman berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

SITI AISHAH BINTI MD ISA