KUANTAN, 26 Mei- Cubaan menyeludup bunga ganja bernilai RM1.4 juta yang disorok dalam bungkusan sarung bantal dan bungkusan baju berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang.
Pengarah Kastam Negeri Pahang, Mohd Asri Seman berkata, rampasan itu dilakukan di Pusat Mel dan Kurier (PMK), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu selepas pemeriksaan rapi ke atas beberapa bungkusan yang diisytihar sebagai barangan pakaian dan barangan rumah.
Menurutnya, bungkusan terbabit menggunakan khidmat syarikat kurier dari Terengganu dan Selangor, dipercayai untuk dihantar ke Britain.
“Kurier ini dari dalam negara, dihantar ke luar negara menggunakan Pos Malaysia. Didapati ada beberapa lokasi; yang pertama, bungkusan pos dari Terengganu. Mereka guna Pos Malaysia untuk sampai ke PMK. PMK ni adalah pusat untuk semua pos dalam negara sebelum dihantar ke luar negara,” katanya.
Dalam serbuan pertama, pasukan penguatkuasa menemui bahan organik disyaki bunga ganja seberat 6.2 kilogram dengan nilai anggaran RM666,400.
Bagi kes kedua pula, sebanyak 3.2 kilogram bunga ganja dirampas, dianggarkan bernilai RM313,600.
Manakala dalam kes ketiga, sebanyak 4.3 kilogram bunga ganja ditemui dengan nilai pasaran RM425,320.
Bunga ganja adalah dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Butiran I, Bahagian I, Akta Dadah Berbahaya 1952. Ketiga-tiga kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang awam digesa menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.