SETIU, 26 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya merampas 15,455 liter minyak diesel bernilai lebih RM44,819 dalam satu serbuan di sebuah tapak projek pembinaan di Merang, di sini.
Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 10 pagi itu dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Besut hasil risikan selama dua minggu.
Menurut Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat pasukan penguat kuasa menemui sebuah tangki simpanan berisi minyak diesel yang dipercayai digunakan bagi tujuan menjanakan kuasa melalui generator set (genset).
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati syarikat pembinaan berkenaan gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan minyak diesel di lokasi terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Berikutan itu, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mohd Mufsi turut memaklumkan tindakan akan diambil bukan sahaja terhadap pemilik tangki, tetapi juga terhadap pembekal diesel yang menyalurkan bahan api tersebut kepada pihak yang tidak memiliki permit sah.
Tambahnya, sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,
manakala bagi kesalahan berikutnya pula, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta.
Bagi syarikat, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.