BUKIT KAYU HITAM, 11 Disember- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya merampas sejumlah 110 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3.52 juta dalam satu operasi di Pokok Sena pada 4 Disember lalu.
Pengarahnya Nor Izah Abd Latiff berkata operasi tersebut dijalankan berdasarkan risikan yang mengesan sebuah kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) mencurigakan dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun.
"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui empat guni besar berisi bungkusan berlabel teh Cina yang mengandungi dadah methamphetamine (syabu)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Pemandu MPV berusia lingkungan 40-an yang dipercayai cuba melarikan diri dengan terjun daripada kenderaan sebelum berjaya ditahan selepas dikejar sejauh kira-kira 400 meter.
Dadah tersebut dipercayai untuk pasaran gelap di sekitar Lembah Klang, Selangor.
Suspek warga tempatan bersama kenderaan dan eksibit telah dibawa ke pejabat Penguatkuasaan Kastam Kedah di sini untuk siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.