fb fb fb fb fb

Dua lelaki proses dadah dalam rumah sewa ditahan

Wan Azharudin Wan Ismail (tengah) bersama dadah yang dirampas pihaknya/RTM

SUNGAI PETANI, 11 Disember- Polis berjaya membongkar kegiatan dua lelaki yang menjadikan sebuah rumah sewa di Bandar Puteri Jaya (BPJ) di sini sebagai lokasi menyimpan dan memproses dadah hasil risikan selama enam bulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Azharudin Wan Ismail berkata serbuan yang dilakukan menemui dadah jenis heroin dan kafein, dipercayai didalangi seorang tukang gunting rambut berusia 48 tahun.

Lelaki tersebut memulakan kegiatan itu sejak awal Januari lalu dengan bantuan rakan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori.

"Serbuan membawa kepada rampasan dadah bernilai RM82,750, membabitkan heroin seberat anggaran 11.99 kilogram dan kafein anggaran 8.85 kilogram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada Selasa.

Tambah beliau, kafein yang dirampas digunakan sebagai bahan untuk memproses heroin, sebelum dadah yang siap diproses diedarkan ke pasaran tempatan.

Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah kereta, motosikal, serta barangan kemas berupa rantai, loket dan subang bernilai keseluruhan RM52,803.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua suspek lelaki itu kini direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 Disember bagi membantu siasatan.

SITI AISHAH MD ISA