fb fb fb fb fb

Samun berkumpulan: Dua rakan mengaku tidak bersalah

Salah seorang tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen, Ipoh

IPOH, 20 Ogos- Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menyamun dan menyebabkan kecederaan kepada lima mangsa, 8 Ogos lalu.

Alson IK Kai Jun, 20 tahun dan Ling Siaw Hock, 33 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama dua lagi yang masih bebas dengan mengambil dua buah telefon bimbit dan kad pengenalan serta wang tunai berjumlah RM5000.000.

Ketika rompakan tersebut, kedua-dua tertuduh juga dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Tou Siow Lung, 21 tahun, Keng Zhen Wei, 23 tahun, Emilie Yip Phooi San, 29 tahun, Loi Woom Ye, 34 tahun dan Wong Swee Chon, 53 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah rumah beralamat di No.15, Jalan Melayu Ayer Tawar, Manjung kira-kira 12.30 pagi, 8 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amirah Nabihan Shahrir mencadangkan jaminan RM15,000.00 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh. Namun peguam Sandeep Singh merayu jaminan minimum kerana kedua-dua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000.00 dan RM12,000.00 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 23 September depan.

ROSLINA BINTI DIN