BESUT, 15 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu melakukan operasi ke atas sebuah premis perniagaan di Kampung Air Tawar, Kampung Raja di sini yang disyaki dijadikan stor tempat menyimpan pelbagai jenis barangan tiruan.
Operasi yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Besut itu adalah hasil aduan yang diterima daripada pihak wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal yang telah dilakukan.
Pengarah KPDN Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, hasil maklumat awal premis itu mendapat bekalan barangan tiruan daripada pembekal di negeri Kedah sebelum dijual semula kepada pembeli secara dalam talian menerusi TikTok.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan operasi telah menemukan sejumlah bag dan kasut jenama terkenal yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah bawah Akta Cap Dagangan 2019 Akta 815.
"Kesemua barangan tersebut bersama-sama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah melebihi RM30,000," kata Saharuddin.
Menerusi operasi itu, seorang individu lelaki warga tempatan berusia 32 tahun mengaku sebagai pemilik premis telah ditahan bagi membantu siasatan.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
Sementara itu bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya akan didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang.
Bagaimanapun pihaknya memberi peringatan serta amaran kepada semua pihak supaya tidak menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah.
Pada masa sama pengguna media sosial diminta untuk berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan.