fb fb fb fb fb

Lempar bola api, polis pandang serius, usah ambil kesempatan

Bahagian kedai serbaneka di Sungai Isap Kuantan yang terbakar akibat dilempar bola api

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan keganasan dengan melempar bola api ke sebuah kedai serbaneka di Sungai Isap Kuantan, pukul 5.00 pagi tadi.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius berkenaan perkara berkenaan selain mengerah seluruh kekuatan untuk mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam di negara ini.

Kejadian itu menimbulkan keresahan penduduk setempat terutama menjelang sambutan Aidil Fitri.

"Tindakan undang-undang sudah diambil ke atas Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart dan pembekal stoking Xin Jian Chang Sdn Bhd. Pembekal dan penjual sudahpun didakwa di mahkamah.

"Siasatan polis mendapati lima pasang daripada 18,000 pasang stoking bertulis Allah. Ini amat mengguris hati umat Islam. Rampasan telah dibuat, jualan juga sudah dihentikan. Pengarah KK Mart sudahpun memohon maaf," katanya dalam kenyataan itu.

Saifuddin turut menegaskan kebimbangan berkenaan isu 3R selama ini adalah berasas dan munasabah biarpun dipertikai oleh sesetengah pihak.

"Menggesa dan mendorong orang ramai memboikot sesuatu jenama mungkin bukan satu kesalahan undang-undang tetapi adalah jelas menjadi suatu kesalahan apabila orang ramai bertindak menceroboh atau cuba membakar premis KK Mart.

"Perbuatan ini boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. PDRM akan tetap mengambil tindakan berasaskan undang-undang demi kepentingan orang ramai," katanya.

Bagaimanapun Saifuddin mahu isu berkenaan diuruskan oleh polis dan setiap tindakan adalah mengikut proses undang-undang.

"Saya yakin rakyat mahukan keamanan selain hidup rukun damai dan saling menghormati perbezaan sesama kita," katanya.

Sebelum ini kes sama pernah berlaku di cawangan kedai serbaneka berkenaan di Bidor, Perak pada 26 Mac lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI