fb fb fb fb fb

Polis sah tulang dijumpai di Tongkang Pechah milik Bella

FOTO FAIL

BATU PAHAT, 30 Mac - Beberapa tulang yang ditemui di kawasan rumah terbiar di Tongkang Pechah di sini pada 28 Februai lepas sah milik mangsa bunuh Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmilah Samsusah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dalam satu kenyataan berkata perkara tersebut disahkan Jabatan Kimia Johor melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Ujian berkenaan mendapati ia sepadan dengan tulang yang ditemui semasa awal proses siasatan kes pembunuhan Bella.

"Pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru telah dimaklumkan berkaitan keputusan itu bagi membolehkan waris Bella menuntut tulang tersebut," katanya.

Pada 24 Januari lepas teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh wanita itu antara 11 malam, 14 Dis hingga 5.30 pagi, 15 Disember lepas di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga hingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 19 Januari lepas polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan Bella.

Ibu tunggal dua anak berusia 32 tahun itu dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam, 14 Disember dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran dan gagal dihubungi sejak itu.

TETITIA YUSOFF